Monday, 9 January 2017

MENGAPA PERLU MENYERTAI PENGAKAP?

Salam Pengakap,

Masih ramai yang kurang jelas mengenai kelebihan-kelebihan yang bakal diperoleh oleh seseorang jika mereka menyertai pengakap. Apa yang pasti, pengakap sudah cukup sinonim dengan zaman persekolahan di mana ianya merupakan Badan Beruniform yang telah lama wujud sebelum hadirnya Persatuan Badan Beruniform seperti Kadet Remaja Sekolah, Kadet Polis, Kadet Bomba, Puteri Islam dan sebagainya. Oleh yang demikian, jika seseorang pengakap dewasa memakai baju pengakap, akan wujud situasi stereotaip yang menyamakan pengakap dewasa itu seperti budak-budak.Memang benar pengakap wujud melalui ilham Lord Baden Powell hasil dari pengalaman beliau di medan perang di mana beliau telah menggunakan kanak-kanak bagi tujuan meninjau (scouting) pergerakan musuh. Hasil dari kejayaan beliau mengadakan perkhemahan untuk kanak-kanak di Pulau Brownsea serta pengalaman beliau ketika menjadi askar di India dan Afrika maka pergerakan pengakap telah berkembang melalui kewujudan buku nukilan Lord Baden Powell yang bertajuk "Scouting for Boys". 

Seterusnya, Lord Baden Powell juga telah mengarang buku bertajuk "Rovering for Success" di mana banyak menceritakan berkenaan kejayaan bukan sahaja hadir melalui wang dan kuasa, tetapi ia lebih kepada kegembiraan yang dikecapi di dalam hidup. Lord Baden Powell menghuraikan kepuasan hidup itu bukan hanya pada wanita, arak, pertaruhan, politik dan pelbagai lagi perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan pemikiran seseorang, tetapi kegembiraan/kebahagiaan itu perlu dikecapi melalui perkara-perkara positif yang mana bukan sahaja membentuk keperibadian mulia seseorang malahan memberi kepuasan hidup terhadap individu. Oleh itu, usaha bagi mengawal perbuatan seseorang belia itu dari terjebak dengan perkara-perkara tidak berfaedah/negatif adalah melalui keseronokan aktiviti yang diperoleh dalam pergerakan pengakap itu sendiri. 

Oleh itu, MENGAPA PERLU MENYERTAI PENGAKAP?

Persoalan itu boleh dinilai dari sudut pandangan seseorang individu tetapi bagi penulis, berikut adalah jawapan penulis pada persoalan tersebut:

1.PENGAKAP MEMBENTUK SESEORANG MENJADI LEBIH BERDISIPLIN, BERKEYAKINAN, BERILMU & BERKETRAMPILAN - 
Walaupun pengakap bukanlah Persatuan yang menyamai Unit Beruniform yang terdapat di Malaysia seperti Kadet Polis, Kadet Bomba dan Askar, tetapi ia menawarkan asas disiplin yang menyamai setiap persatuan tersebut. Dalam pengakap adanya aktiviti Kawad Kaki dan Kawad Tongkat. Ianya bertujuan membentuk seseorang ahli pengakap untuk lebih berdisiplin, mematuhi peraturan dan arahan dari orang atasan. Melalui program latihan kepengakapan, seseorang itu akan berpeluang menonjolkan diri masing-masing melalui kemahiran dalam sesuatu aktiviti seperti masakan rimba, pioneering, orienteering dsbnya di mana ianya menjadikan seseorang ahli pengakap itu lebih berkeyakinan untuk menunjukkan kemahiran beliau serta perkongsian ilmu pengetahuan sesama ahli-ahli pengakap menjadikan mereka lebih berkualiti, berketrampilan dan berdaya saing. Aktiviti pengakap itu menjadikan diri seseorang ahli pengakap lebih kreatif dan inovatif (melalui aktiviti Pioneering/Gajet) serta mampu mencorak keperibadian diri mereka untuk menjadi seorang insan yang baik budi pekertinya bersesuaian dengan syariah Islam itu sendiri. 


2. MENGENALI BUDI PEKERTI RAKAN MELALUI KEPENGAKAPAN
 - Untuk mencari rakan-rakan yang ketawa bersama adalah amat mudah, tetapi untuk mencari seseorang rakan yang menangis bersama kita itu amat payah sekali. Jelas ayat itu mengambarkan kesukaran bagi seseorang untuk mencari teman yang sejati. Walaupun sudah agak lama anda mengenali seseorang itu, kadang-kadang anda tidak akan dapat mengenal dia sepenuhnya. Tetapi melalui aktiviti kepengakapan, ianya banyak membantu anda mengenali rakan-rakan anda dengan sebaik-baiknya. Dalam merencanakan sesuatu program pengakap, apabila kita berurusan dengan rakan-rakan kita, akan ada antara mereka menunjukkan kesungguhan dan akan ada pula bersikap sambil lewa, dan akan ada antara mereka tidak mempedulikan tanggungjawab mereka. Dari situ, kita sudah dapat menilai/menganggar takat kredibiliti atau kebolehpercayaan terhadap seseorang rakan itu. Bila telah banyak dan telah lama anda mengikuti sesuatu program bersama rakan-rakan anda, telah banyak perkara yang anda kongsi dan lakukan bersama-sama, maka wujudnya ikatan persaudaraan yang kuat sesama anda, namun jika ada antara mereka mempunyai perangai pentingkan diri sendiri, anda sendiri dapat menilai melalui program kepengakapan. Seseorang yang baik budinya adalah seseorang yang sanggup membantu rakan dalam kesusahan, tetapi seseorang yang buruk perangainya adalah seseorang yang membiarkan rakannya itu bersusah-susah sendiri.


3. PENGAKAP MERANGKUMI SEGALA ASPEK KEHIDUPAN 
- Jika bercakap mengenai kadet polis & askar kelebihannya adalah belajar menggunakan senjata/ kawad, jika bercakap mengenai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) maka kelebihannya adalah rawatan cemas, jika bercakap mengenai kadet bomba & Pertahanan Awam maka kelebihannya adalah latihan menyelamat/ rawatan cemas/ kawad. TETAPI jika bercakap mengenai PENGAKAP, kelebihannya adalah simpulan & ikatan/ kawad/ rawatan cemas & bantu mula/ khidmat masyarakat/ aktiviti lasak (pendakian, menyelam skuba, berakit di air deras, berkayak, eksplorasi gua, wall climbing, paintball & sukan-sukan ekstrem lain), pengembaraan (berbasikal, berdayung kayak/rakit/sampan, bermotorsikal, berkereta, berkenderaan awam dsbnya melalui jarak yg ditetapkan dalam silibus pengakap kelana, Kaji Cuaca), berkhemah, pioneering (membuat gajet2 pengakap), orienteering (latihan menggunakan kompas), ikhtiar hidup (memasang jerangkap, masakan rimba), latihan renang & menyelamat di air, kursus pengurusan risiko, Latihan Kepimpinan (kursus kepimpinan manikayu, pengurusan acara, kursus pemantapan, komunikasi dan pengucapan awam, pentadbiran), Latihan ICT (Teknologi Maklumat, Komunikasi & Perhubungan - Kod Morse/ Radio Amatur/ Isyarat Bendera Semaphore, Perhubungan Antarabangsa), Perkhidmatan (Memulihara Alam Sekitar, Khidmat Masyarakat), Malam Persembahan, Camp Fire dan pelbagai lagi. Huraian di atas jelas menunjukkan aktiviti kepengakapan adalah merangkumi segala aspek kehidupan dan melampaui segala aktiviti yang dijalankan oleh Badan-badan beruniform/ Persatuan2 mahupun Kelab2 lain.


4. AKTIVITI YANG BANYAK DAN PELBAGAI SEPANJANG TAHUN 
- Jika diperhatikan pada badan-badan uniform yang lain berkemungkinan kadet polis/ askar wataniah mungkin mempunyai banyak latihan seperti menembak di lapang sasar serta kawad kaki. Walaupun pengakap tidak mempunyai latihan menembak, tetapi pengakap mempunyai aktiviti-aktiviti yang banyak dan pelbagai sepertimana dihuraikan pada poin nombor 3 di atas di mana ianya melampaui kemampuan badan-badan lain dalam melaksanakan sesuatu program yang pelbagai sepanjang tahun. Tiada istilah pengakap hanya wujud sekadar untuk berkhemah. Setiap aktiviti kepengakapan itu disertakan dengan sijil penyertaan bagi peserta dan sijil penghargaan bagi fasilitator. Sijil-sijil tersebut amat berguna dalam memastikan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum luar melalui kepengakapan yang banyak & pelbagai tersebut menjamin kedudukan atau tempat bagi seseorang ahli pengakap untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang terbaik berbanding dengan ahli-ahli persatuan dan kelab yang lain di mana aktiviti-aktiviti yang dilakukan mereka terbatas pada matlamat kumpulan mereka diwujudkan. 


5. PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA (PPM) ADALAH TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN 
- Akta Parlimen Malaysia No. 38 (1968) dengan pindaan No. 143 (1974) dan No. 409 (1989) menerangkan kedudukan Pengakap di dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pengakap selaku NGO (Badan Sukarelawan) yang mendapat kedudukan istimewa di Malaysia. DYMM Yang Dipertuan Agong merupakan penaung bagi Pengakap Malaysia dan pemilihan Ketua Pengakap Negara adalah di atas perkenan DYMM Yang Dipertuan Agong.


6. MENYERTAI JAMBORI ANTARABANGSA & KURSUS LATIHAN LUAR NEGARA
 - Melalui kepengakapan, setiap ahli pengakap berpeluang menyertai Jambori Antarabangsa/Luar Negara di mana mereka boleh mempelajari adat dan budaya serta seni tradisional masyarakat di negara lain, dan melahirkan ikatan persaudaraan sesama ahli-ahli pengakap di seluruh pelusuk dunia melalui aktiviti yang dianjurkan oleh Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM). Kursus Latihan Kepimpinan luar negara selalu dianjurkan samada di peringkat Asia Pasifik mahupun Dunia.


7. PERSAUDARAAN PENGAKAP SEDUNIA
 - Pengakap adalah bersaudara sebagaimana tertakhluk dalam Undang-undang Pengakap yang Keempat daripada Sepuluh. Pengakap bukan sahaja wujud di Malaysia malahan di seluruh pelusuk dunia. Kebanyakan negara-negara luar mempunyai unit beruniform pengakap sahaja diperingkat persekolahan sepertimana di Indonesia dikenali sebagai Pramuka dan di Thailand dikenali sebagai anak serigala melainkan di Malaysia yang mana wujud persatuan-persatuan baru seperti kadet polis, bomba, askar dan banyak lagi. Namun di peringkat antarabangsa pengakap (scouts) merupakan pertubuhan yang cukup gah dan pengakap sentiasa mendapat layanan istimewa dari negara-negara luar jika kita melakukan lawatan ke tempat mereka. 

Untuk itu rasanya telah cukup banyak huraian mengenai kelebihan pengakap yang penulis cuba gambarkan. Justeru itu diharapkan kepada sesiapa yang berminat dengan kepengakapan, cubalah berdaftar dengan mana-mana pasukan pengakap yang diingini kalian bagi membolehkan kalian memperoleh manfaat sebagaimana dinyatakan di atas. Apa yang pasti, adalah amat penting minat dalam diri seseorang itu membolehkan seseorang itu mencapai apa yang mereka inginkan dan mengecapi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup mereka. Apa yang baik sememangnya datang dari ALLAH S.W.T dan yang buruk itu jelasnya dari kelemahan saya sendiri. 

Sekian, terima kasih.

"WE GROWTH THROUGH FAMILY'

Hasil Nukilan: Yazid Maliki (2012)

No comments:

Post a Comment