Sunday, 11 December 2016

CARA MEMASANG, MENAIK, MENGIBAR DAN MENURUNKAN BENDERA

Bendera adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh yang demikian menaikkan dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan dan cara yang sopan. Cara-cara yang sesuai ialah :-

i) Sebelum menaikkan bendera ujilah tali temali bendera terlebih dahulu bagi memastikan ianya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan bendera jatuh atau melampai tidak tentu kibarannya.

ii) Sebelum bendera dinaikkan, pastikan ianya dalam keadaan yang baik.

iii) Mereka yang akan menaik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.

iv) Menaik dan menurunkan bendera hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya semula keseparuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.

v) Bendera janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.

vi) Bendera janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselimpangkan ke bahu apabila ia sampai ke bawah.

vii) Selepas digunakan bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkahi dan sebagainya.

viii) Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan sebagai memberi kehormatan negara seperti menutup keranda dalam Istiadat Pemakaman/Pengkebumian Negara.

ix) Bendera yang koyak dan telah bertukar warna adalah dianggap sebagai bendera yang uzur.


Bendera yang uzur hendaklah tidak dikibarkan kerana pengibarannya menunjukkan tanda tidak hormat. Ianya hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan dengan membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.

No comments:

Post a Comment